21 Apr 2010

Cuci Dosa

Engkau kalau mahu cuci dosa
masuk bertanding pilhanraya
aku bagaimana?

Senyumlah dalam Kuala Lumpur Yang Basah


Saat dijejakkan kakinya ke sini, terus dia melangkah pantas. Tidak menoleh, mahu pun berhenti lagi. Terus dilangkahi adat, agama dan kesantunan.

Dia melangkah dalam basah.
Terbias di wajahnya kehitaman dan gelaga dosa
Di dalam rahim, ada nyawa minta dibelas kasihan

Dia terus melangkah dalam basah
Enam purnama lagi, nyawa ini akan nyahlupuskan.

Dia terus melangkah
sambil tersenyum, dia mencarut-carut menyumpah
kemudian berpuisi

Kuala Lumpur ini, lelaki yang punya
mereka sentiasa lepas
yang tertangkap hanya si ibu
yang terhukum
hanya aku!

18 Apr 2010

Gincu dan aku

Warna-warna ini
bisa sahaja aku tukar ganti

sejam merah,
kemudian biru

aku tebalkan lagi kosmetik itu

menutup rawan di dalam bisu


14 Apr 2010

Gula-gula baru

Daddy
aku sudah ada
gula-gula baru

Jangan kau cari
dan letupkan
tubuhku

Jangan fikir
aku tolol
daddy juga sudah punya
anak gadis baru

13 Apr 2010

Cair

Cari hatiku
bila kau ucap
tiga patah kata itu

I love you

Dan terlucut imanku
sebagaimana tercicir pakaian
yang menutup aibku
sekarang

Cair hatiku
bila kau ucap
I love you
mengalir air dari tulang sulbimu
ke dasar rahimku

Cair hati ini
bila kau ucap sekali lagi
lantas aku campak
bayi tanpa dosa
di mana-mana
mungkin tepi longkang
dalam tandas awam
tong sampah

Asal kau ucap tiga patah
kata magis itu
aku pun terlupa
sayangkan nyawa
dan maruah diri

Oh!

Baju pengantin

Setiap jam
untuk aku
adalah malam pengantin
cuma berbeza lelakinya

Tapi dalam anganku
masih ku inginkan
masih ku mimpikan
sepasang persalinan pengantin

12 Apr 2010

Serupa tak sama

Bukan tugasmu
menilai aku
kerana kita
sama-sama pendosa

Jangan menipu
malaikat mencatat amalmu
mencatat amalku

Aku gundik
kau gundik
bezanya
di atas kertas
sijil nikah

Aku gundik
engkau pun gundik
mari bersatu
kita minum darahnya!

9 Apr 2010

Pengakuan

Ya
Aku mengaku
aku bersajak
sambil
menanggalkan
bajuku
satu persatu

untuk menggoda
para wali

Tanggal

Aku
tanggalkan satu persatu
pakaian keimananku
untuk bersama
mengejar
apa yang ku sangka
cinta

Aku
lemparkan segala nista
ketepi
kerana ku fikir
engkau adalah dewa

Sekarang
aku sedang berkira-kira
di mana mahu
ku campak benih haram
yang mintak haknya, dikasihi
dalam rahimku ini

Setelah kau pergi
dan dengan ayat paling klise
kau kata
aku murahan


Oh! Celaka

Jam 3.00am

Jam tiga
aku masih berdansa
di lantai dosa
khayal syabu
mabuk kencing si syaitan

Bau-bau nikotin
mengghairahkan jiwa
ayuh, katamu
mari ke sorga

aku terasa
diseret ke neraka

5 Apr 2010

Conteng

Si tolol itu aku
sanggup menconteng arang di muka
meludah ke langit
menyelak yang patut dirahsiakan
kerana cinta

Si tolol itu aku
kata pasangan halalmu
engkau
maksum segala baginya

4 Apr 2010

Platonik

Aku
tetap dihina
dan dicemburui
kekasihmu

Aku sendiri was-was
dengan cinta ini

Ada kegusaran
bimbang kita
terbabas sempadan

Nanti
ketika kau perlu memilih
mereka akan bersorak
memaki aku

3 Apr 2010

Dari

Kondo mewah
hotel-hotel mewah
rumah tumpangan murah
ke lorong-lorong

Kini dengan Rm10
jantan-jantan jalang
buruh-buruh warga asing
mampu membaham
tubuhku

Esok barangkali
aku terbujur di lorong ini
dan roh ke neraka
tanpa siapa peduli

Di atas lidah(ludah) kesenian

Hey
lihat aku
betapa ranggi
mendedah puting
dan pangkal dada
celahah peha
di atas lidah(ludah)
pentas
atas nama seni

2 Apr 2010

Perkongsian dosa

Berjarak sekali
kita terawang antara langit
yang rendah dan bumi yang tinggi
nikotin yang kau hembus;
ku hela perlahan
selaran warna pelangi
merejam mata iman

Tubuhku yang kau gilai
dan sisi poketmu yang ku kejari
sama-sama maklumi
pengakhiran termaktub
malam ini.

1 Apr 2010

Gaun Tidur(puisi dari kekasih di kondo mewah)

Gaun tidurku saksi amukan asmara disewa beli
saban malam dajal nafsu turun dan kita menyembahnya
tanpa silu, tanpa malu
kau dan aku dirasuk kepanasan darah muda
gaun tidur tipisku, kebasahan bukan semata kerana liurmu.
dosa kita palit, melekat padanya semakin menebal
cinta jika ada semakin tiris, setipis gaun ini
usia makin ranum, kesetiaan tidak lagi bawa untung

ps: Pernah didekmasikan buat pertama(mungkin terakhir) kali di acara SaluNikotina Bangsar.

Kedua, bukanlah pilihanku

Hei
datang padaku
tepat jam delapan
ku sambut engkau
dengan cinta
bl0use satin hitam tanpa lengan

Kita lapah-lapahkan hati mereka
pasangan halal dan zuriatmu
engkau pun tertawa
mabuk-mabuk kencing si iblis
dan aku seperti dia
menangis

Sajak kepada lelaki(kau juga jalang)

Ya, segera kirimkan aku c empat
Supaya aku, lebih mampus cepat
Sesudah engkau tembak mampuskan cinta (palsu berkepentingan)
Dan, engkau berlari jauh setelah hatiku bersepai kecai

Ya, jangan lupa cacakkan nesan
Mercu tanda, kita bersama memanipulasikan cinta
engkau mahu hangat tubuhku
aku mahu, wangian ringgit harta
yang kau kumpul secara keji jijik

Ya, aku kekasih pada jam mencecah dua belas hingga lima pagi
Dan, kita adalah pasangan paling jalang
Di mana keadilan kerana aku sering disalah bencikan
sedang yang mengonar mendusta, adalah engkau.
dan engkau, masih memijak tangga kekuasaan!

Jiwa seorang perempuan

Jiwa kewanitaanku bak sehelai satin melayang ke lantai
nanti dulu, biarkan aku seketika
berbaring di sini
ada yang masih ingin disentuh pandang.
selama ini sentiasa luput
sesaat adalah abadi, sebelum kau sapu buang
kamarmu pada keseesokan pagi